Thursday, 21 January 2016

Novel Review : Sunan (Nanggroe Sang Kembara)

لسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 بِسْــــــــــــــــــمِ-اﷲِالرَّحْمَنِ-اارَّحِيم

Novel Review kali ni, ialah salah satu karya penulis terkenal iaitu Sunan : Nanggroe Sang Kembara. Novel ke 23 karya Ramlee Awang Murshid (RAM).

Novel ni sebenarnya sudah lama dalam pegangan sahabat. Disebabkan kekangan masa, baru sekarang sahabat berkesempatan untuk membacanya. Hanya dalam masa dua hari sahaja, sahabat sudah berjaya habis baca.

Menurut sinopsis di belakang buku, Sunan ini mengisahkan Saifuddin, yang membawa diri, merajuk ke Acheh dan diangkat menjadi anak angkat Wali Sufi. Beliau belajar ilmu agama dengan mendalam dan turut berlatih dalam persilatan. Kemudian, Ratna Sag Ratu menyusup ke bumi Acheh untuk membunuh Wali Sufi bagi menghancurkan keampuhan Acheh daripada serangan Kerajaan Pulau Utara. Engku Aminah, anak kerabat istana Pagar Ruyong yang rupawan mula jatuh kasih pada Saifuddin biarpun dalam tempoh singkat. Malangnya Ratna menjadi penghalang. Ada sekelumit rasa cemburu membadai jiwanya.

Nilai cinta klasik dalam novel benar-benar menarik perhatian sahabat. Pada mulanya, sahabat bersangka ia merupakan kisah bosan si pendekar, namun sahabat tersilap. Tidak sampai beberapa bab, sahabat sudah tertarik dan khusyuk membaca. Kisah klasik pendekar silat yang mendalami ilmu agama ini unik dengan diselitkan perasaan fitrah dalam diri manusia iaitu kejahatan, hasad dengki dan cinta. Sahabat menyukai susunan jalan cerita yang teratur dan mudah difahami.

RAM seperti yang diketahui ramai merupakan penulis yang mempunyai gaya tulisan yang tersendiri. Biarpun terdapat banyak kosa kata klasik yang digunakan, sahabat masih lagi dapat memahami dengan mudah. Kisah yang berlatar belakangkan zaman Kesultanan Melayu Melaka dan Acheh ni tidak membosankan walaupun ia masih boleh dikategorikan sebagai sejarah fiksyen. Dialog-dialog yang digunakan juga lebih banyak dalam bahasa Melayu klasik yang kedengaran seperti bahasa Indonesia sekarang.

Sedang sahabat ralit membaca, dan tidak sabar mengetahui siapakah akan memenangi pertarungan antara Ratna Sang Ratu dan Saifuddin, tiba-tiba, BERSAMBUNG. Ketika itu, tergetus rasa amarah dan berang sahabat. Apakah yang berlaku pada Saifuddin? Adakah Aminat mati? Apa Ratna akan lakukan? Pelbagai persoalan melompat keluar dari kotak fikiran sahabat. Akhirnya sahabat mengerti selepas membaca tinta penulis yang diselitkan dalam novel tersebut. Rupanya novel Sunan: Nanggroe Sang Kembara ini merupakan jilid ke-6 dalam penyusunan karya Sunan. Novel sebelum ini sudahpun wujud dalam mengisahkan Saifuddin dan Ratna Sang Ratu seperti Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu, Hijab Sang Pencinta, Cinta Sufi, Sutera Bidadari dan Sunan Musafir. Timbul pula perasaan tamak sahabat untuk membeli semua novel tersebut.


Namun apa yang pasti, karya ini boleh dianggap karya terbaik RAM. Sahabat betul-betul menyukai novel ni walaupun dan tidak sabar untuk mengetahui kesinambungan perjalanan hidup Saifuddin. Sejujurnya sahabat mencemburui bakat RAM sebagai penulis yang mampu menarik pembaca ke alam sesebuah latar novel, membuatkan pembaca khusyuk. Seandainya sahabat mampu berbuat perkara yang sama sebagai seorang penulis. 

0 comments:

 
Penulis Bongsu Blogger Template by Ipietoon Blogger Template